counter

Wednesday, 8 October 2014

Laporan Program Kesedaran Pencemaran Alam Sekitar



Nama                               : Mohamad Amirul Asraf Bin Ahmad
Program                           : PISMP
Nama Sekolah                  : Sekolah Kebangsaan Jimah Baru
Nama Projek                    :Program Kesedaran Pencemaran Alam Sekitar
Tempoh Pelaksanaan       : 4 – 6 Ogos 2014
Pengenalan:
Program ini bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada murid-murid tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Intipati program ini berkisarkan tentang kesedaran terhadap pencemaran alam sekitar dan cara-cara mencegah alam sekitar daripada terus tercemar. Program ini juga penting dalam usaha untuk membentuk generasi akan datang yang sedar akan pentingnya memelihara alam sekitar kita.
Objektif:
1.    Memenuhi kehendak kursus SCE 3143.
2.  Memberi pendedahan kepada murid-murid berkaitan isu pencemaran alam sekitar.
3.    Menerangkan punca-punca pencemaran alam sekitar.
4.    Menerangkan langkah-langkah pencegahan pencemaran alam sekitar.
5.    Melatih murid mengguna semula bahan terbuang bagi mengurangkan jumlah sisa pepejal.

Strategi Pelaksanaan        :
Beberapa langkah telah diambil dalam memastikan program yang dirancang berjalan dengan lancar.  Berikut merupakan langkah-langkah yang telah diambil oleh kami iaitu :

Strategi pelaksanaan
            Berdasarkan kepada carta alir ini, saya dan rakan kumpulan yang lain  telah mengadakan satu mensyuarat kecil serta taklimat untuk merangka Program Kesedaran Pencemaran Alam Sekitar ini. Hasil daripada mesyuarat ini, kami semua telah bersetuju untuk membentuk satu jawatankuasa yang diketuai oleh ketua program iaitu Amirul Shamim Bin Mohd Pogi, penolong ketua program, Mohamad Habibullah bin Mohd Arshad dan setiausaha program, Mohamad Amirul Asraf Bin Ahmad, iaitu saya sendiri. Selain daripada jawatan yang telah disebutkan tadi, kami juga bertindak sebagai penceramah dimana setiap daripada kami akan ditugaskan untuk mengandalikan satu slot. Oleh yang demikian, terdapat 3 slot untuk program ceramah iaitu, Slot 1 adalah berkaitan isu pencemaran alam sekitar dan punca, Slot 2 adalah berkaitan langkah-langkah pencegahan pencemaran alam sekitar dan Slot 3 adalah berkaitan dengan aktiviti menggunakan bahan terbuang dan menghasilkan satu produk inovasi bagi mencegah penambahan hasil sisa pepejal.

            Setelah selesai pelantikan ahli jawatankuasa, saya mula membina kertas kerja yang kemudiannya berjaya mendapat kelulusan daripada pihak Puan Guru Besar, Puan Hajah Fadzillah Binti Samik. Kertas kerja yang dibentangkan mudah mendapat kelulusan kerana tiada halangan atau bertindan dengan program-program sekolah yang lain. Selain itu, Program Kesedaran Pencemaran Alam Sekitar ini juga merupakan satu program yang sangat bermanfaat kepada murid-murid sekolah ini kerana program ini mampu memupuk kesedaran kepada murid-murid sekolah ini tentang pentingnya menjaga alam sekitar, sekali gus menjaga suasana ceria dan bersih sekolah ini.

            Program Kesedaran Pencemaran Alam Sekitar ini telah dilaksanakan di Bilik Sains Sekolah Kebangsaan Jimah Baru. Bilik sains ini mampu memuatkan jumlah murid lebih daripada 3 kelas dengan selesa, namun hanya kemudahan meja tulis sahaja yang tidak mencukupi. Program dimulai dengan bacaan doa oleh wakil murid tahun 4. Setelah selesai, slot Program Kesedaran Pencemaran Alam Sekitar yang pertama dimulakan iaitu berkaitan dengan isu pencemaran alam sekitar dan punca-puncanya. Selaku fasilitator dalam slot ini, saya telah membantu dalam mengawal murid dan memastikan program ini berjalan dengan lancar. Selain itu, saya juga cuba menerangkan kepada kumpulan kecil jika terdapat diantara mereka yang keliru dan tidak faham akan penerangan yang diberikan oleh penceramah.

            Setelah selesai slot yang pertama, program ini disambung pula dengan slot kedua dengan tajuk langkah-langkah pencegahan pencemaran alam sekitar. Pelbagai gambar dan video telah ditayangkan oleh penceramah slot ini tentang keburukkan pencemaran dan cara-cara untuk mencegahnya. Selain itu, penceramah juga turut menerangkan secara terperinci tentang apa yang murid-murid boleh lakukan dalam menyumbang kepada pengurangan pencemaran alam sekitar ini. Murid-murid juga dikehendaki menyenarai dan menyatakan semula langkah-langkah pencemaran yang telah diberitahu dalam slot ini serta memberikan cadangan tambahan untuk pencegahan pencemaran ini. Saya dan penceramah slot pertama bertindak sebagai fasilitator untuk slot yang kedua ini.

            Kemudiannya, bagi slot yang ketiga, saya sendiri yang mengendalikan slot ini dimana ianya membincangkan tentang amalan 3R dan bagaimana untuk menghasilkan produk daripada bahan terbuang. Slot yang ketiga ini diadakan pada hari yang berikutnya iaitu selepas ceramah slot pertama dan kedua dijalankan. Bagi slot ini, saya telah memberikan sedikit penerangan tentang amalan-amalan 3R kepada murid. Kemudiannya, murid didedahkan dengan contoh-contoh produk yang boleh diguna semula dan dikitar semula. Hal ini bertujuan untuk memberi idea kepada murid-murid untuk mencipta sesuatu produk secara berkumpulan. 

            Setelah selesai ceramah pendek ini, slot ketiga ini diteruskan dengan murid menjalankan aktiviti membina objek daripada bahan terbuang. Bahan-bahan terbuang tersebut murid sendiri yang bawa ke sekolah dan mereka akan membina objek-objek tertentu mengikut kreativiti kumpulan mereka. Criteria yang ditetapkan adalah kecantikan, kekuatan dan nilai-nilai kebolehgunaan. Tiga kumpulan yang menghasilkan objek yang menepati kriteria ini akan dipilih sebagai pemenang.



Analisis Maklumbalas Pengunjung


Rajah 1: Graf analisis maklumbalas pengunjung

Rajah 1 menunjukkan hasil analisis maklumbalas yang diterima daripada pengunjung atau penonton dalam Program Kesedaran Alam Sekitar yang dijalankan di Sekolah Kebangsaan Jimah Baru. Merujuk kepada hasil analsis, 90% daripada pengunjung menyatakan bahawa tempoh masa program ini dijalankan adalah berpatutan dan sesuai dengan tahap dan kesediaan murid-murid. Hal ini demikian kerana tempoh masa bagi slot 1 dan slot 2 adalah 30 minit masing-masing dan 2 jam bagi slot 3. Slot 3 diperuntukkan masa yang lebih banyak supaya murid-murid berupaya membina produk baru mereka dalam tempoh waktu yang ditetapkan.

Hasil analisis bagi soalan kedua pula menunjukkan keputusan negatif dimana 70% daripada pengunjung atau responden menyatakan tidak bersetuju dengan tempat program yang dijalankan. Hal ini demikian kerana tempat pelaksanaan program bagi slot 1 dan slot 2 adalah di bilik sains sekolah. Ruang yang kurang luas dan kekurangan kerusi menimbulkan beberapa kekangan dari aspek keselesaan kepada murid-murid.

Hasil analisis soalan ketiga pula menunjukkan bahawa 95% pengunjung menyatakan ya kepada soalan adakah penceramah berpengetahuan baik dalam topik pencemaran alam sekitar. Hal ini jelas menunjukkan bahawa penceramah yang menyampaikan maklumat dan informasi menunjukkan satu perkongsian ilmu dan pendedahan yang mantap dan baik kepada murid-murid.

Hasil analisis soalan keempat pula menunjukkan bahawa 80% daripada pengunjung menyatakan ya kepada soalan adakah penyampaian penceramah menarik sepanjang program. Hal ini adalah kerana cara penyampaian yang dipilih oleh penceramah adalah secara santai dan menyelitkan banyak unsur-unsur kecindan. Hal ini menimbulkan rasa seronok dan mampu menarik minat dan fokus murid untuk memberikan perhatian.

Hasil analisis soalan kelima pula menunjukkan bahawa 90% pengunjung menyatakan ya kepada persoalan sama ada program yang dijalankan ini mampu menimbulkan kesedaran mereka tentang pencemaran alam sekitar yang berlaku di sekeliling mereka. Hal ini demikian kerana penceramah telah menggabungkan pelbagai media seperti tayangan video dan gambar-gambar baik secara tempatan dan juga pada peringkat global. Contoh-contoh yang ditunjukkan telah memberikan satu impak dan gambaran yang jelas kepada murid-murid ini yang rata-rata kurang pendedahan tentang pencemaran alam sekitar.

Hasil analisis soalan keenam pula menunjukkan bahawa 85% daripada pengunjung menunjukkan bahawa mereka bersetuju dengan pernyataan kandungan program yang dijalankan adalah bersesuaian dengan topik program.Kandungan-kandungan program yang dijalankan adalah hasil perbincangan dan perancangan yang rapi oleh semua ahli jawatankuasa dan pemilihan kandungan program dijalankan dengan lebih teliti.

Hasil analisis soalan ketujuh pula menunjukkan bahawa 85% daripada pengunjung telah menyatakan ya apabila ditanya adakah mereka lebih faham tentang punca-punca pencemaran alam sekitar berbanding sebelum program dijalankankan. Selain itu juga, Hasil analisis soalan kelapan juga menunjukkan bahawa hasil positif dimana 80% daripada pengunjung menyatakan ya kepada persoalan adakah mereka lebih faham tentang langkah-langkah pencegahan pencemaran alam sekitar berbanding sebelum program. Kedua-dua soalan ketujuh dan kelapan ini adalah hasil keseluruhan program kesedaran pencemaran alam sekitar yang dijalankan ini. Justeru, hal ini jelas menunjukkan bahawa sebelum ini murid-murid kurang diberikan pendedahan tentang isu pencemaran alam sekitar yang sering berlaku dalam kehidupan seharian mereka.

Rumusan analisis program kesedaran pencemaran alam sekitar Sekolah Kebangsaan Jimah Baru ini menunjukkan hasil yang positif dan berjaya memberikan pengetahuan dan kefahaman kepada murid-murid yang terlibat. Diharapkan kesedaran yang berjaya dibentuk dapat diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan bagi melahirkan masyarakat yang lebih peka kepada kelestarian alam semulajadi.

 Kritikan dan Cadangan Penambahbaikan

            Hasil pemerhatian yang dijalankan sepanjang program berlangsung dan dengan merujuk kepada hasil analisis maklumbalas pengunjung sebelum ini, jelas menunjukkan bahawa terdapat beberapa aspek atau ruang yang perlu diperhatikan dengan lebih teliti kerana menjadi kekangan atau kekurangan terhadap program yang telah dijalankan. Antara aspek yang perlu diberikan perhatian adalah dari segi aspek perancangan masa dan tempat pelaksanaan program.

            Melihat kepada aspek perancangan masa, tarikh perancangan program yang telah ditetapkan adalah bermula 4 Ogos hingga 6 Ogos. Meskipun program yang telah dirancang berlangsung seperti yang ditetapkan, wujud sedikit kekangan dimana pada tempoh tarikh yang sama adalah berlangsungnya peperiksaan percubaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid-murid tahun 6. Justeru program yang melibatkan jumlah murid yang ramai ini telah menimbulkan sedikit keadaan yang bising pada mulanya dan mengganggu suasana senyap di dalam dewan peperiksaan. Walaupun keadaan ini berjaya dikawal akhirnya, ahli jawatankuasa melihat pada perancangan akan datang, ahli jawatankuasa seharusnya meneliti dengan lebih halus lagi tentang pemilihan tarikh seperti melakukan perbincangan teliti bersama Penolong Kanan Akademik seupaya tidak berlaku lagi pertindihan program seumpama tersebut. Peperiksaan yang dijalankan tersebut merupakan keutamaan bagi pihak sekolah.
           
        Selain itu juga, hasil daripada kritikan daripada pengunjung, mereka menyatakan bahawa pemilihan tempat bagi program ini iaitu bagi slot 1 dan slot 2 adalah kurang bersesuaian dengan jumlah kapasiti murid yang besar. Pemilihan tempat iaitu bilik sains sekolah menjadi kekangan utama kepada program ini dimana ruang yang kurang luas dan kemudahan kerusi yang tidak mencukupi membataskan kelancaran program. Hal ini adalah berhubungkait dengan kelemahan mencari tarikh yang sesuai sebentar tadi kerana program tidak dapat dilaksanakan di tempat dewan terbuka kerana dikhuatiri akan lebih mengganggu-gugat suasana dan ketenteraman di dewan peperiksaan murid-murid tahun 6.

            Selain itu juga, kelemahan lain yang diperhatikan dalam program yang dilaksanakan ini adalah ketiadaan kemudahan siaraya seperti mikrofon dan pembesar suara. Program yang melibatkan jumlah murid yang besar telah memaksa penceramah untuk melantangkan suaranya agar penyampaian yang dilakukan dapat didengari oleh semua murid dan difahami. Seharusnya, kemudahan ini ditempah terlebih awal dan disediakan supaya kelancaran program terjamin. Namun demikian, masalah ini hanya timbul bagi slot 1 dan slot 2 sahaja manakala pada slot 3, pihak jawatankuasa berjaya mengambil tindakan rasional dan menyediakan kemudahan siaraya ini.

      Selain itu juga, terdapat peluang penambahbaikan lain yang boleh diambil bagi mengukuhkan keberkesanan program kesedaran pencemaran alam sekitar ini dalam kalangan murid. Antara tindakan yang boleh diambil adalah dengan mempelbagaikan lagi penggunaan media lain selain video iaitu poster-poster kesedaran, bahan-bahan maujud kesan pencemaran seperti sisa-sisa toksik dan membawa murid-murid melawat Pusat Kualiti Alam Sekitar yang tidak jauh sahaja daripada kawasan sekolah ini. Disanping menambah ilmu pengetahuan, murid-murid akan berkesempatan untuk bertanya kepada pihak yang lebih pakar dan arif dalam bidang pencemaran alam sekitar dan bagaimana usaha yang telah dilakukan bagi membendung isu ini.
           
       Secara kesimpulannya, terdapat pelbagai masalah dan kekangan yang dihadapai sepanjang pelaksanaan program pada kali ini. Namun demikian, hal ini bukanlah hanya untuk diperkatakan semata-mata tetapi adalah untuk ditambahbaik bagi tujuan program yang akan datang. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan sebagai usaha kerjasama semua pihak dalam menjamim isu pencemaran alam sekitar ini dapat diatasi.

Refleksi:
1.    Kekuatan
Terdapat beberapa kekuatan yang telah dikenalpasti setelah Program Kesedaran Pencemaran Alam Sekitar ini dijalankan, antaranya ialah slaid yang ditayangkan lengkap dan mudah untuk difahami oleh murid sekolah rendah. Slaid yang dibina adalah berdasarkan daripada beberapa laman web utama seperti worldwildlife.org dan sciencedaily.com. Slaid ini juga dapat menarik minat murid kerana disertakan bersama gambar-gambar serta video yang menarik dan mudah untuk difahami.

Kekuatan lain bagi program ini ialah prasarana yang disediakan sangat sesuai dan mencukupi untuk melaksanakan program ini. Kelengkapan seperti projektor LCD adalah sangat diperlukan untuk program ini. Dengan adanya projektor LCD ini, maka slaid dapat ditayangkan dengan jelas dan memudahkan murid terutamanya yang berada di bahagian belakang untuk melihat. Selain itu, bilik sains ini juga merupakan tempat yang kondusif untuk program ceramah ini (slot 1 dan slot 2). Murid dapat duduk dengan selesa di dalam bilik sains ini. Sistem pengudaraan juga baik. Oleh yang demikian, murid dapat menumpukan perhatian kepada isi ceramah yang disampaikan.

Seterusnya, kekuatan yang dapat saya lihat dalam Program Kesedaran Pencemaran Alam Sekitar ini ialah aktiviti membina objek daripada bahan terpakai atau bahan terbuang ini jelas menimbulkan kesedaran dalam diri murid dimana mereka sangat menghargai objek yang telah mereka lakukan. Hasil perbualan dengan beberapa orang murid secara tidak formal juga menunjukkan bahawa mereka berminat dan teruja untuk membina objek lain pula daripada bahan terbuang ini. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan keberkesanan Program Kesedaran Pencemaran Alam Sekitar yang kami jalankan ke atas murid-murid tahun 4 ini.

2.    Kelemahan

Disebalik kekuatan yang dinyatakan, terdapat juga beberapa kelemahan yang dapat disingkapkan, antaranya ialah disiplin murid ketika penceramah sedang memberikan ceramah. Terdapat murid terutamanya yang berada di bahagian belakang bilik sains bersembang dan membuat bising. Hal ini berlaku mungkin kerana bilangan mereka yang ramai dan tidak terkawal oleh fasilitator-fasilitator yang bertugas. Fasilitator perlu memberikan arahan dengan tegas agar mereka memberikan perhatian kepada penceramah.

Selain itu, pemilihan tarikh juga dilihat kurang sesuai dengan program yang berlaku di sekolah. Hal ini kerana, Program Kesedaran Pencemaran Alam Sekitar ini dijalankan semasa sekolah mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Jika tidak, sudah pasti kami dapat menggunakan dewan dan mendapat tempat yang lebih selesa untuk murid-murid mendengar ceramah ini. Jika tarikh program ini diawalkan, mungkin murid daripada tahun yang lain sepeti tahun 5 dan tahun 6 dapat sama menyertai program ini.

      Kelemahan lain yang jelas kelihatan ialah dari segi kehadiran murid ke Program Kesedaran Pencemaran Alam Sekitar ini yang agak kurang. Hal ini berlaku kerana terdapat program lain pada bulan Syawal yang turut dijalankan pada waktu yang sama. Terdapat juga pergerakkan keluar masuk murid kerana ada murid yang terlibat dengan program lain semasa Program Kesedaran Pencemaran Alam Sekitar ini dijalankan. Program yang kami laksanakan ini juga bermula sedikit lewat kerana terdapat program lain pula pada waktu rehat (sebelum Program Kesedaran Pencemaran Alam Sekitar).

            Seterusnya, kelemahan dapat dilihat pada slot yang kedua. Pada slot ini, tidak semua murid yang terlibat secara aktif dalam kumpulan kecil masing-masing untuk memberikan jawapan. Terdapat murid yang hanya menjadi penumpang dan hanya melihat shaja rakan kumpulannya berfikir. Hal ini berlaku mungkin kerana bilangan murid dalam satu kumpulan agak ramai. Terdapat juga murid yang kelihatan ingin bertengkar diantara mereka sendiri (ahli kumpulan sendiri) kerana tidak mencapai kata sepakat. Fasilitator perlu tegas kepada murid-murid ini agar kekacauan tidak berlaku dalam kelas.

Cadangan Penambahbaikan:
      Berdasarkan kelemahan-kelemahan yang telah dinyatakan, beberapa cadangan penambahbaikan boleh dilaksanakan pada masa akan datang. Antaranya ialah dengan mengadakan mesyuarat dengan lebih teliti berkaitan takwim program atau tarikh-tarikh yang bersesuaian bagi menjalankan program. Hal ini penting bagi mengelakan berlakunya pertindihan program pada satu-satu masa seperti yang berlaku pada program ini.

           Selain itu, bilangan jawatankuasa disiplin juga perlu ditingkatkan bagi memastikan disiplin murid terkawal semasa ceramah sedang berlangsung. Jawatankuasa ini sangat penting dalam memastikan kelancaran sesuatu program terutamanya program yang melibatkan murid sekolah. Kami boleh memohon bantuan guru pelatih lain atau bantuan daripada guru sekolah itu sendiri yang berkelapangan pada waktu program kami dijalankan.

         Seterusnya, bagi permasalahan yang berlaku dalam slot kedua iaitu slot langkah-langkah pencegahan pencemaran alam sekitar, guru atau fasilitator perlu memberikan arahan dengan tegas terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti kumpulan tersebut. Oleh itu, murid akan lebih fokus ketika arahan di berikan, sekali gus meminimumkan kekacauan yang berlaku dalam kumpulan kecil ini.

Kesimpulan:
      Kesimpulannya, Program Kesedaran Pencemaran Alam Sekitar ini berjaya dilaksanakan dengan baik walaupun terdapat beberapa kelemahan yang nyata dan boleh diperbaiki pada masa akan datang. Diharapkan program ini dapat memberi manfaat kepada semua yang terlibat samada secara langsung ataupun tidak langsung.









Disediakan oleh:
Mohamad Amirul Asraf Bin Ahmad
Siswa Guru,
Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik.

No comments:

Post a Comment